Friday, November 5, 2010

ulasan kemenangan BN di PRK DUN GALAS..

Qaim Qays November 6 at 12:49am
Assalamualaikum dan salam satu Malaysia saya ucapkan kepada para pembaca yang sudi meluangkan masa untuk membaca cebisan kata-kata dalam ruangan ini. Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada saudara Mohd Fadzil Abdul Hanid kerana telah membuka ruang ini kepada saya untuk berceloteh lebih panjang tentang topik yang masih hangat pada waktu ketika ini berkenaan dengan kemenangan Barisan Nasional di Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Galas.
Sebelum saya membuka tirai kata-kata saya dengan lebih panjang,ingin saya bangkitkan satu persoalan di sini,adakah dengan kemenangan Barisan Nasional di DUN Galas ini,bermakna UMNO akan merampas pucuk pimpinan PAS yang secara umumnya sudah sekian lama menaungi negeri Cik Siti Wan Kembang ini? Mungkinkah juga terlalu awal untuk mengatakan bahawa rakyat Kelantan telah kembali menyokong Barisan Nasional (BN), khususnya Umno ekoran kemenangan pada Pilihan Raya Kecil DUN Galas pada hari Khamis, 4 November yang lalu?


Bagaimanapun, yang pasti ia memberi isyarat bahawa BN sedia merampas Kelantan yang diperintah PAS sejak 20 tahun lalu. Dan semangat orang Umno sepatutnya semakin meningkat untuk membuktikan bahawa Pas bukanlah tidak boleh ditumbangkan di negeri Cik Siti Wan Kembang itu. Jika keputusan PRK DUN Galas dijadikan ukuran, PAS menghadapi laluan sukar untuk mengekalkan kuasa di negeri itu. Taktik menjatuhkan maruah para pemimpin BN dan melagakan mereka ternyata sudah ditolak oleh orang Cina dan India, bahkan orang asli juga tidak ketinggalan turut sama menolaknya. Lebih membimbangkan PAS kini sudah ramai penyokong mereka yang tidak lagi percaya sejauh mana ketulusan PAS dalam membawa mesej Islam dalam perjuangan. Maka ramai antara mereka tidak keluar mengundi seperti mana yang disahkan oleh lidah rasmi PAS, Harakah Daily.


Kesan yang amat jelas ialah perpaduan jentera BN semakin baik pada PRK kali ini dan semua yang terlibat berjuang mati-matian demi mengekalkan pengaruh BN dalam memimpin rakyat ke arah mencapai matlamat negara maju 2020. Mungkinkah aura Tok Guru Nik Aziz Nik Mat telah menurun setelah rakyat Kelantan bosan dengan tindakan dan sikapnya yang dilihat begitu taksub bersekongkol dengan Pakatan, Anwar Ibrahim dan DAP?


Sehubungan itu, para blogger PAS sendiri meramalkan, nasib PAS semakin buruk. Jika PRK diadakan di luar Kelantan, sudah tentu nasib malang PAS semakin parah. Senario ini berlaku kerana pakatan jahat PKR/DAP yang jelas ada agenda tersembunyi di dalam permuafakatan politik dengan PAS. Mereka tidak jujur dengan PAS, sedangkan ahli PAS bermati-matian mempercayai janji manis mereka dalam menawan Putrajaya. Dalam erti kata lain, para penyokong dan ahli PAS mula sedar bahawa parti mereka kini hanya menjadi alat kepada agenda Anwar Ibrahim dan juga chauvanis Cina, DAP. Maka jalan terbaik bagi PAS kini ialah memisahkan diri dari PKR dan DAP, samada terus bersendirian atau 'berkahwin' semula dengan pasangan lama, UMNO/BN buat kali kedua. Apapun, calon BN, Abdul Aziz Yusof telah menang dengan majoriti menyakinkan iaitu 1,190 undi. Beliau mendapat 5,324 undi manakala calon PAS, Dr Zulkifli Mohammad mendapat 4,134 undi. Berdasarkan pilihan pengundi daripada 13 peti undi, PAS hanya menang satu, iaitu di Sungai Terah dengan majoriti 285 undi. Yang agak mengejutkan Pas Kelantan, BN kali ini mendapat sokongan majoriti daripada pengundi kaum Cina yang pada Pilihan Raya Umum 2008 lalu menyokong PAS. Hakikatnya, Tengku Razaleigh Hamzah nyata masih berpengaruh di kalangan pengundi Gua Musang. Tiada siapa pengundi di kawasan Galas yang tidak mengenalinya. Peribadi anak raja itu menjadi ikon di Gua Musang sejak dulu, kini dan selamanya. Pengaruh Tengku Razaleigh atau lebih mesra dengan panggilan ‘Ku Li’ di kalangan penduduk tempatan masih mencengkam kemas di Galas. Beliau masih dan akan menjadi aset penting Barisan Nasional untuk Pilihan Raya Umum akan datang.


Serangan bersepadu jentera kempen BN terhadap kerajaan negeri Kelantan pimpinan PAS, berjaya menyakinkan pengundi. Terlalu banyak penyelewengan kerajaan PAS didedahkan oleh BN termasuk isu ladang rakyat. Satu lagi faktor sampingan yang turut menyumbang kepada kemenangan BN ialah demam bola sepak Kelantan yang menjalar hingga ke Galas. Gelombang merah ekoran kemenangan Piala Malaysia sedikit sebanyak mempengaruhi pengundi memberi sokongan kepada BN. Ini kerana Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa yang membawa kemenangan bola sepak Kelantan dalam piala paling berprestij itu adalah salah seorang orang kuat Umno Kelantan. Beliau ialah Ketua Umno Bahagian Peringat. Keputusan petugas BN dan Umno memakai baju T merah sebagaimana idea bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh telah menyemarakkan lagi semangat petugas BN. Kesimpulannya, kemengan BN di Galas ini adalah hasil kerja keras semua pihak terlibat yang mahu menyelamatkan rakyat Kelantan dari terus ketinggalan.


Bagaimanapun, adalah terlalu awal untuk mengatakan bahawa keputusan PRK DUN Galas itu sebagai satu jaminan kepada BN merampas Kelantan dalam pilihanraya umum akan datang. Masih banyak perkara yang perlu diperkemaskan, terutamanya peringkatan dalaman kepimpinan Umno Kelantan itu sendiri. Tidak mustahil, cengkaman pemerintahan Pas Kelantan selama 20 tahun itu bukanlah kerana Pas mendapat sokongan padu rakyat tetapi, adalah kerana kelemahan dan masalah dalaman yang dialami oleh Umno Kelantan sendiri. InsyaAllah, Tengku Razaleigh akan menjadi penyelesai kepada masalah dalaman UMNO/BN Kelantan kali ini. Mudah-mudahan. Wasalam.

No comments:

Post a Comment